malam nisfu syaaban

Jun 12, 2014
Malam nisfu syaaban adalah malam ke 15 di dalam bulan syaaban. Malam yang nilainya lebih baik dari seribu bulan. Terdengar ceramah ustaz azhar idrus yang mana kiraan malam ini adalah sama dengan, jika 20hari, bahagikan dengan 2, maknanya 10, kalau 8, bahagikan dengan 2, maknanya 4, jadi, jika sebulan ada 30hari, bahagikan dengan 2, maknanya 15. Dan sebab itulah, malam nifsu syaaban jatuh pada tarikh 15hb.


Sabda Rasulullah SAW: “Apabila tiba pada malam Nisfu Syaaban maka berjagalah kamu pada malamnya (melakukan ibadat) dan berpuasa pada siangnya kerana sesungguhnya Allah turun (merahmati hamba-hamba-Nya) pada waktu itu mulai terbenamnya matahari ke langit dunia. Allah SWT berfirman: “Siapa yang memohon keampunan maka aku akan mengampunkannya, siapa yang meminta rezeki, maka aku akan kurniakan kepadanya rezeki, siapa yang ditimpa bala aku akan melepaskannya. Adakah daripada kalangan mereka begini dan adakah daripada kalangan mereka begini (berturutan pertanyaan daripada Allah) sehingga terbit fajar?”   

  (Hadis Riwayat Ibnu Majah)


Kelebihan malam nifsu syaaban ini juga ada di sebutkan di dalam hadis sahih daripada Mu'az bin Jabal r.a: Rasulullah SAW bersabda:


“Sesungguhnya Allah  SWT akan memerhatikan hamba-Nya pada malam nisfu Syaaban, maka Allah akan mengampunkan penghuni dunia melainkan dua golongan manusia; musyrik (orang yang menyekutukan Allah SWT) dan musyabin (orang yang saling benci membenci).” 

(HR Ibnu Majah, At-Thabaroni dan Ibnu Hibban)


Malam ini juga, di antara malam-malam yang dikabulkan doa.  Menurut Imam Asy-Syafie dalam kitabnya al-Umm.


‘Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya Aidil Fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban.’



Malam nifsu syaaban juga di panggil dengan nama :

  • Lailatul Mubarakah (malam keberkatan),
  • Lailatul Baraah (malam pelepasan),
  • Lailatul Qismah wal-taqdir (malam pembahagian dan penentuan)
  • Lailatul Takfir (malam mengkifaratkan dosa).
  • Lailatul Ijabah (malam diperkenankan doa),
  • Lailatul Syafaah (malam syafaat)
  • Lailatul Idil Malaikah (malam raya malaikat).
  • Lailatul Hayat (malam hidup), iaitu malam yang tidak dimatikan apabila seseorang menghidupkan malamnya.

Walaupun malam nifsu syaaban di antara malam yang dikabulkan doa, terdapat mereka-mereka yang dosanya tidak di ampun oleh Allah, mereka adalah : 


  • Menyekutukan Allah dengan sesuatu,
  • Tukang sihir dan ahli nujum,
  • Derhaka terhadap ibubapa,
  • Peminum arak,
  • Penzina,
  • Pemakan riba,
  • Pembuat firnah,
  • Suka bermusuhan,
  • Menipu dalam perniagaan.
  • Memutuskan tali silaturrahim.

Menghidupkan malam nifsu syaaban.

Daripada Aishah r.a. berkata: Rasulullah SAW telah bangun malam dengan bersolat dan baginda telah memanjangkan sujudnya sehingga aku menyangka bahawa baginda telah dicabut nyawanya.
Apabila baginda mengangkat kepalanya dari sujud dan selesai dari solat, baginda bertanya kepadaku: “Wahai Aishah, adakah aku telah mengabaikanmu?”
Aku menjawab: “Tidak wahai Rasulullah, tetapi aku sangka engkau telah dicabut nyawa disebabkan lamanya engkau bersujud”.
Baginda pun berkata: “Tahukah engkau apakah malam ini?”
Aku menjawab: “Allah dan RasulNya yang lebih tahu”.
Baginda berkata: “Ini adalah malam pertengahan bulan Syaaban. Sesungguhnya Allah SWT melihat para hambaNya pada malam pertengahan bulan Syaaban, maka diampunkan orang yang memohon ampun, dirahmati orang yang meminta rahmat…”.    (Direkodkan oleh Baihaqi: Hadis Mursal)

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan malam Nisfu Syaaban dan dua malam raya (Aidilfitri dan Aidiladha), hatinya tidak akan mati pada hari dimatikan hati-hati orang lain.”
Diriwayatkan oleh Al-Dar Qutnu dan Imam Ahmad darpada Syaidah Aisyah;  Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah  SWT turun ke langit dunia pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya lebih banyak daripada bilangan bulu kambing Bani Kilab (Kabilah arab yang paling banyak kambing).”

Allah SWT memenuhi keampunan dan Rahmat-Nya pada malam ke-15 Syaaban, maka umat Islam digalakan memperbanyakkan amal ibadat dengan membaca:

  • Kalimah syahadah,
  • Surah Yassin tiga kali,
  • Beristighfar,
  • Berselawat dan berdoa,
  • Bertasbih, tahmid, tahlil dan takbir.

Nabi SAW bersabda: 

“Lakukanlah amalan setakat yang kamu terdaya. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu semua jemu.” 

Apa yang disukai oleh Rasulullah SAW adalah solat (sunat) yang sentiasa dibuat sekalipun sedikit dan Baginda SAW apabila mendirikan solat, maka Baginda SAW sentiasa berterusan di dalam berbuat demikian.” (Diriwayatkan oleh imam Bukhari r.a. dan imam Muslim r.a.)


Maka, sewajarnya kita melakukan amalan-amalan yang soleh pada malam berkenaan dan mengelakkan apa yang Allah benci, mudah-mudahan kita semua diampunkan.

Oleh itu, amatlah baik bagi kita sebagai umat Islam memperbanyakkan amalan, selain menjadi satu medan latihan rohani ke arah mempersiapkan diri menyambut kedatangan bulan Ramadhan.



Tiada ulasan:

Silalah tinggalkan komen anda yang bernas & membina. Komen yang menyentuh keagamaan, politik, atau yang boleh menimbulkan rasa tidak senang orang lain adalah dilarang. Sila tinggalkan juga URL blog kalian supaya kami juga boleh membalas kunjungan.

Terima kasih kerana sudi singgah ke blog ceritaejoy.com

Dikuasakan oleh Blogger.